KUCHING, 24 Mei: Sarawak berjaya menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan baharu pada 2022, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata kejayaan tersebut direkodkan setelah negeri ini mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM32 bilion untuk tahun yang sama.
“Sektor primer menyumbang RM22.3 bilion, sektor pembuatan menyumbang RM5.2 bilion dan sektor perkhidmatan menyumbang RM4.5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) pada Persidangan Hari Kelapan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, di sini, hari ini.
Menurutnya untuk pelaburan berkaitan sektor pembuatan bagi tempoh 2022 hingga suku pertama 2023, Kerajaan Sarawak telah meluluskan RM9.6 bilion melibatkan 87 projek.
Pelaburan ini menurut beliau dijangka akan mampu menawarkan lebih 6,700 peluang pekerjaan. – TVS