CANNES, 25 Mei: Filem Tiger Stripes memenangi hadiah utama Minggu Pengkritik Cannes yang merupakan acara sempena anugerah berprestij dunia, Festival Filem Cannes.
Ia sekali gus menjadikan pengarah filem berkenaan, Amanda Nell Eu mencipta sejarah sebagai pengarah dari Malaysia dan Asia Tenggara pertama memenangi hadiah itu.
Filem Tiger Stripes menang hadiah utama di Minggu Pengkritik Cannes
Menurut portal CNA, ketua juri Audrey Diwan memuji filem berkenaan dan berkata: “Ia adalah filem pilihan pertama yang kami tonton dan ia melepasi ujian masa.”
Tiger Stripes mengisahkan tentang Zaffan, seorang remaja berusia 12 tahun yang berjuang untuk memahami tubuhnya yang mengalami akil baligh dan kemudian bergelut dengan perubahan fizikal dirinya.
Zaffan dipulaukan oleh masyarakat kerana dianggap pelik. Selepas membuat keputusan untuk melawan rasa takut dan menerima semua keanehan tentang dirinya, Zaffan mula berubah dan muncul sebagai seorang wanita yang kuat.
Filem ini mengetengahkan tiga bakat baharu iaitu Zafreen Zairizal, Deena Ezral dan Piqa.
Selain itu, Shaheizy Sam, Jun Lojong dan Fatimah Abu Bakar adalah antara barisan nama besar yang turut membintangi filem itu. – TVS