GEDONG, 20 Mei: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual akan menaiki pesawat yang diterbangkan dengan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) pada Isnin ini.
Mengesahkan perkara itu Abang Johari berkata ia akan dilakukan pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) di Langkawi minggu depan.
Jalan alternatif Semalatong-Gedong bernilai RM250 juta – Abang Johari
“Hari Isnin ini kita akan menguji bahan api tersebut di Langkawi pada pesawat sebenar dan saya sendiri akan terbang dalam pesawat tersebut,” kata beliau.
Abang Johari berkata demikian pada majlis pecah tanah bagi projek pengambilalihan dan naik taraf jalan ladang sedia ada dari Gedong ke Kampung Semilatong Simunjan di sini, pada Sabtu.
Meskipun isterinya, Datuk amar Juma’ani Tuanku Bujang menzahirkan kerisauan, namun beliau tetap mahu meneruskan misi percubaan itu demi memastikan matlamatnya membangunkan teknologi SAF dicapai serta membuahkan hasil kepada pendapatan negeri.
Sekiranya penjanaan SAF di negeri ini membuahkan hasil yang lumayan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu berhasrat untuk mewujudkan pembinaan loji janakuasa bahan api itu di daerah tersebut.
Terdahulu, pada 10 Mei Abang Johari telah melancarkan Loji Jana Kuasa Alga dan Chitose Carbon Capture Central terbesar di dunia yang terletak di Sejingkat Kuching.
Menurut Abang Johari loji janakuasa tenaga hijau berasaskan alga di Sejingkat itu mampu mengeluarkan sekitar 45 tan bahan api penerbangan mampan (SAF) untuk kegunaan pesawat di seluruh dunia. – TVS