KUCHING, 20 Mei: Penduduk di kawasan Kampung Pulo Ulu di sini dijangka akan berpindah ‘town house’ di Projek Pembangunan Penempatan Darul Hana pada hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata satu mesyuarat bersama agensi terlibat akan diadakan dalam masa terdekat bertujuan mengenal pasti tarikh siap projek pembinaan 60 buah rumah berkenaan.
Beliau mendedahkan sebelum ini, pihaknya pernah membina sebuah kediaman berkonsep serupa namun model kediaman itu tidak diterima oleh segelintir penduduk.
“Saya telah memaklumkan kepada pihak Jawatankuasa Kampung (JKK) yang terlibat mengenai maklumat yang diperoleh daripada beberapa agensi seperti Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Jabatan Tanah dan Survei serta kementerian berkaitan bahawa konsep ‘Town House’ yang telah dibina dahulu tidak diterima oleh masyarakat tempatan.
“Maka konsep tersebut telah ditukar dan dibina semula rumah sedia ada. Jadi, 60 buah unit rumah ‘Town House’ telah diubah dan sedang dalam pembinaan.
“Kita akan memanggil agensi berkaitan untuk bermesyuarat bersama untuk mengenal pasti bila tarikh ia siap sepenuhnya untuk memberitahu penduduk Kampung Pulo Ulu untuk berpindah ke sana,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Kampung Pulo Ulu pada Jumaat.
“Saya difahamkan penduduk Kampung Pulo Ulu akan berpindah sebelum akhir tahun ini. Semoga perancangan tersebut dapat berjalan lancar,” katanya.
Turuh hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Nancy Shukri.- TVS