KUCHING, 20 May: Beberapa jalan di sekitar Bandaraya Kuching ditutup sempena Sambutan Minggu Perpaduan yang bermula hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa dalam kenyataannya berkata, majlis yang berlangsung dari hari ini hingga 26 Mei depan akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Tuan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya bagi memastikan Sambutan Minggu Perpaduan 2023 berjalan dengan lancar, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah melakukan penutupan dan lencongan jalan beberapa tempat.
“Penutupan dan lencongan jalan telah dilakukan bermula 15 Mei (Isnin) jam 7 pagi bagi tujuan pemasangan khemah oleh pihak Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak sehingga 26 Mei jam 12 tengah malam iaitu selepas khemah dibuka.
“Antara jalan yang ditutup dan dilencongkan bagi tujuan pemasangan khemah adalah Jalan Main Baazar/Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Gambir,” katanya dalam satu kenyataan.
Merbin memberitahu bagi Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2023 yang diadakan pada 21 Mei pula, terdapat enam jalan dan lencongan akan ditutup yang melibatkan jalan Jalan Main Baazar/Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Wayang, Jalan Khoo Hun Yeang, Jalan Old Court House, Jalan Masjid/Jalan Market dan Jalan Dockyard.
“Orang awam dinasihati meletak kenderaan di kawasan yang ditetapkan iaitu Reservior Park, bangunan Saujana, medan letak kereta UTC, Jalan Urat Mata, dewan suarah, bangunan medan pelita atau medan letak kereta Plaza Merdeka.” jelasnya lagi.
Beliau memberitahu keperluan penutupan dan lencongan jalan ini bergantung kepada keadaan semasa yang sesuai berdasarkan penilaian aliran trafik oleh pegawai polis trafik yang bertugas agar tidak mengganggu pengguna jalan raya yang ingin melakukan aktiviti harian yang lain.
Tegasnya, orang awam juga dinasihati untuk mengikut tanda-tanda isyarat kawalan lalu lintas yang diarahkan oleh pegawai polis bertugas dan dilarang meletak kereta dibahu jalan yang akan menyebabkan kesesakan trafik. -TVS