Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sukan SEA: Bukan semua ‘buruk’, masih ada sinar buat atlet muda Malaysia

ByFirdaus Ismail

BANYAK yang telah diperkatakan mengenai kegagalan Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas pada Sukan SEA ke-32 di Kemboja yang berakhir kelmarin.

Sebelum 676 atlet negara terbang ke Phnom Penh, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi menterinya, Hannah Yeoh berkata, sasaran berkenaan dilihat realistik kerana diputuskan menerusi tiga perbincangan.

Maksudnya, kita bukan sekadar tangkap muat ketika letak ‘target’ kerana penelitian dibuat berdasarkan input diberikan oleh badan profesional cuma hasilnya, tidaklah seperti yang kita semua harapkan.

Sepanjang temasya berlangsung, ada hari menyaksikan Malaysia ketandusan pungutan pingat emas, sesuatu yang jarang berlaku pada beberapa edisi sebelum ini.

Sekitar majlis penutupan rasmi Sukan SEA Kemboja kelmarin. Mampukah Malaysia kembali menjadi kuasa gah pada Sukan SEA akan datang. Foto Reuters.

Di pihak atlet, mereka sudah memberikan yang terbaik untuk meraih pingat emas apabila mara ke final acara masing – masing namun perjuangan kerap kali berakhir dengan pingat perak dan gangsa.

Pecutan saat akhir pula menyaksikan Malaysia berjaya menambah enam pingat emas selepas meraih 28 emas setakat 14 Mei.

Malaysia akhirnya menutup kempen Sukan SEA di tempat ketujuh daripada 11 negara bertanding.

Ini merupakan pencapaian terburuk kita sejak 1959.

Malaysia pernah muncul juara keseluruhan Sukan SEA sebanyak dua kali dalam tempoh 30 tahun lepas ketika menjadi tuan rumah. Grafik: Fakhrul Faiz (TVS).

Ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pemerhati, apa sebenarnya sudah berlaku kepada sukan negara.

Apakah kita semakin hilang taring sebagai antara ‘negara yang kuat’ pada pentas Sukan SEA?

Malaysia ‘hilang’ 18 emas sebelum temasya membuka tirai..

Sebenarnya sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirai, beberapa pihak sudah menyuarakan kebimbangan yang Malaysia mungkin tidak mampu ‘pergi jauh’ untuk edisi ini.

Banyak faktor yang menyumbang kepada perkara itu termasuklah tuan rumah diberi ‘kuasa’ untuk menyenaraikan beberapa sukan tradisional mereka yang menawarkan banyak pingat emas.

Maka tidak hairanlah ‘timbul’ beberapa sukan yang jarang kita dengar namun dipertandingkan di Kemboja.

Pernahkah anda mendengar serta tahu mengenai acara sukan arnis, kun bokator, kun khmer dan teqball?

Itulah antara acara yang dipertandingkan dan menawarkan lebih 50 pingat emas di samping acara – acara lain seperti catur ouk chaktrang, catur xiangqi dan fin swimming.

Malaysia hanya mampu menamatkan kempen Sukan SEA 2023 pada kedudukan ketujuh.

Berbalik kepada kun bokator, ia merupakan sukan mempertahankan diri yang berakar umbi di Kemboja.

Kali ini ia menawarkan sebanyak 21 pingat emas dan seperti dijangka Kemboja muncul juara keseluruhan acara itu.

Menarik untuk diperhatikan sama ada sukan itu akan dipertandingkan di Thailand yang menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2025.

Mengulas mengenai kehilangan pingat emas negara, Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Shalin Zulkifli berkata, acara yang selama ini menjadi ‘lubuk emas’ Malaysia pada Sukan SEA seperti skuasy, boling tenpin, boling padang dan memanah tidak dipertandingkan kali ini.

Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Shalin Zulkifli. Foto Malaysia Bowling.

Kata Shalin, selepas penganjur membuat senarai akhir acara – acara dipertandingkan, pengelola sukan negara menyedari yang Malaysia akan kekurangan pingat emas.

“Oleh itu kita memutuskan untuk menghantar skuad pelapis yang besar iaitu mencecah 62 peratus daripada keseluruhan atlet negara kali ini.

“Ini kerana jika mereka tidak diberikan peluang bertanding pada temasya serantau seperti Sukan SEA, kumpulan atlet muda ini agak sukar untuk menang sekiranya beraksi pada Sukan Asia, Sukan Komanwel atau Sukan Olimpik,” katanya kepada TVS.

Shalin yang pernah meraih 20 pingat emas pada Sukan SEA berkata, walaupun kali pertama bertanding, atlet muda yang ditampilkan tidaklah gagal secara total jika meneliti pencapaian mereka.

“Seramai 423 orang atlet Malaysia membuat penampilan kali pertama dan 211 orang berjaya meraih pingat iaitu 12 emas, 20 perak dan 46 gangsa,” katanya.

Menurut Shalin, Sukan SEA juga menjadi pentas untuk atlet muda ini melihat kedudukan mereka berbanding pesaing di Asia Tenggara.

“Majoriti atlet muda yang kita hantar merupakan juara Sukan Malaysia (SUKMA). Oleh itu, apabila diberi peluang bersaing di Sukan SEA, mereka tahu di mana kedudukan masing – masing.

“Kita berharap mereka belajar sesuatu, tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini untuk meningkatkan pencapaian.

“Ini membabitkan program latihan, sertai kejohanan serta perancangan daripada persatuan sukan masing – masing,” katanya.

Malaysia perlu serang lubuk emas, ‘intai’ cara Singapura tingkatkan prestasi

Berdasarkan format Sukan SEA, Malaysia dicadangkan supaya menumpukan kepada acara – acara yang banyak menyumbangkan pingat emas bagi memperbaiki pencapaian pada edisi akan datang, kata Prof Madya Dr Mohamad Nizam Nazarudin.

Pensyarah Program Sukan dan Rekreasi, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, strategi itu telah dilakukan oleh Singapura dan mereka menuai hasil yang lumayan berbanding Malaysia.

Prof Madya Dr Mohamad Nizam Nazarudin.

Kata beliau, pada Sukan SEA kali ini, republik itu mengekalkan penguasaan di kolam renang apabila menyapu 22 pingat emas selain turut cemerlang dalam sukan lawan penang dengan memenangi tujuh pingat emas yang dipertandingkan.

“Oleh itu, untuk edisi akan datang, kita patut tumpu kepada sukan yang menawarkan banyak pingat untuk memastikan kesinambungan di Sukan Asia dan Sukan Olimpik,” katanya.

Berbalik kepada pencapaian Singapura katanya, mereka sudah dua kali berturut – turut mengatasi Malaysia pada pentas Sukan SEA. Tidak dapat disangkal lagi betapa negara itu sangat serius berusaha meningkatkan pencapaian sukan mereka termasuk dengan menubuhkan Singapore Sport Institute (SSI).

Jelasnya lagi, SSI yang diasaskan oleh negara itu menggabungkan aspek sains sukan terhadap kejurulatihan.

“Hasilnya atlet mereka berjaya memecah lapan rekod Sukan SEA, 17 rekod kebangsaan dan 40 atlet mencatatkan best personal record. Ini termasuklah pelari pecut mereka, Shanti Pereira yang menang emas acara 100 dan 200 meter selain perenang republik itu,” katanya.

Kita gagal, negara jiran juga hantar atlet muda

Berdasarkan kepada indikator ditetapkan, penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, Malaysia perlu menerima hakikat yang kita gagal pada kempen Sukan SEA kali ini.

Beliau secara peribadi melihat, penyertaan atlet muda negara bukanlah alasan yang kukuh untuk menafikan prestasi buruk kerana negara lain turut menghantar barisan muda mereka.

Datuk Dr Pekan Ramli.

“Apa yang berbeza ialah atlet muda yang kita hantar ke Kemboja bertujuan untuk mendapat pendedahan dan bukan atlet muda yang kita persiapkan untuk muncul juara atau merangkul pingat emas.

“Kalau macam ini, kita hantarlah seramai mana pun, yang banyak (menang) cuma pingat gangsa sahaja. Thailand, Vietnam, Singapura dan Indonesia juga hantar atlet muda tetapi untuk menang pingat emas buat negara mereka,” katanya.

Kuater 4×400 Lelaki negara Umar Osman (dua, kiri) bersama rakan pasukan yang berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara 4×400 Lelaki akhir Sukan SEA 2023 Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo hari ini. Foto: Bernama

Berkenaan dengan acara yang menawarkan banyak pingat emas dan seharusnya diberi tumpuan oleh Malaysia, Pekan berkata, isu itu sudah lama dibangkitkan sejak temasya di Vietnam tahun lepas.

“Ya, memang kita patut tumpu kepada acara – acara yang tawarkan banyak pingat emas berbanding acara berpasukan.

“Inilah termasuklah renang dan sukan tempur,” katanya.

Belum terlewat untuk tukar kaca jadi intan

Pekan berkata, beliau juga tidak melihat sebarang sinar bagi atlet Malaysia di Sukan SEA kali ini.

Namun demikian katanya, kita tidak boleh berterusan membiarkan prestasi hambar mewarnai arena sukan negara.

“Tidak banyak momen indah untuk atlet kita, hanya satu atau dua sahaja yang menyerlah dan melakar kejutan.

“Bagaimanapun masih belum terlewat untuk tukar kaca jadi intan, syaratnya (persatuan sukan) perlu melakukan transformasi besar – besaran,” kata beliau.

Senada dengan Pekan, Mohamad Nizam juga berpendapat, masih ada ruang untuk arena sukan negara kembali menggegar walaupun dipalit prestasi suram di Kemboja.

Kata beliau, perubahan boleh berlaku sekiranya pihak berkepentingan mengambil tindakan drastik.

“Saya yakin ada atlet muda yang berpontensi untuk terus berjaya seperti pelari 400 meter dan kuaters 4×100 meter wanita negara, sekiranya diberi pendedahan, mereka boleh cemerlang pada kejohanan yang akan datang,” katanya.

Penerjun negara berasal dari Sarawak, Enrique Maccartney Harold antara atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas. Foto: Reuters

Berhubung tindakan segera, beliau menyarankan persatuan sukan yang gagal mencapai sasaran supaya melakukan audit forensik.

“Persatuan sukan juga seharusnya menyenaraikan blueprint lengkap untuk masa akan datang, apa yang perlu diperkemaskan dan sudah tentu transformasi fikiran perlu berlaku,” katannya.

Kata beliau, untuk menghadapi Sukan SEA akan datang, persiapan lebih jitu diperlukan dan perlu mendapat sokongan padu daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Bagi Shalin pula, prestasi ini menjadi kayu ukur kepada atlet – atlet yang bertanding serta memberi peluang untuk mereka berkembang pada kejohanan akan datang.

“Kita mahu menyiapkan mereka untuk dua temasya akan datang iaitu pada Sukan SEA 2025 di Thailand dan 2027 ketika Malaysia menjadi tuan rumah kelak,” katanya. -TVS

 

 

Disclaimer: The views and opinions expressed in this article are those of the author(s) and do not necessarily reflect the position of TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan