KUALA LUMPUR, 19 Mei: Semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang terlibat dengan Sukan SEA Kemboja 2023 akan diminta mengemukakan laporan pascanilai (post-mortem) berikutan pencapaian terburuk kontinjen negara di temasya itu.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata laporan itu, yang perlu dihantar bersama perancangan jangka pendek dan panjang, menentukan bentuk sokongan yang bakal diterima mereka daripada Majlis Sukan Negara (MSN) selepas ini.
Sukan SEA: Kontinjen Malaysia menduduki tempat ketujuh, gagal capai sasaran 40 pingat emas
Beliau berkata antara lain, sukan yang berjaya menyumbang pingat akan diberi sokongan pengurusan atlet, kejurulatihan, pusat latihan, prestasi, pendedahan latihan dan pertandingan di dalam dan luar negara serta perkhidmatan sokongan Institut Sukan Negara (ISN).
“Selepas menerima laporan itu, kita akan duduk bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk merancang kertas dan bawa ke kabinet untuk melihat dari segi peruntukan. Kita juga akan bincang penstrukturan semula melibatkan pembangunan bakat baharu di Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sahaja tidak boleh buat tanpa melibatkan penglibatan peringkat sekolah kerana atlet 15 tahun dah mampu menang emas,” katanya pada sidang media Rangkuman Prestasi Kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja 2023, hari ini.
Sukan SEA: Kontinjen Malaysia menduduki tempat ketujuh, gagal capai sasaran 40 pingat emas
Malaysia mencatatkan pencapaian terburuk dalam sejarah temasya dwitahunan itu sejak 1959, apabila menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, sekali gus gagal mencapai sasaran 40-37-64 bagi edisi Kemboja yang berlangsung baru-baru ini.
Vietnam mempertahan gelaran juara keseluruhan dengan kutipan 136-105-118 manakala tuan rumah Kemboja mencatatkan pencapaian terbaik mereka dengan 81-74-127 pingat untuk berada di tempat keempat.
Sementara itu, Hannah berkata sebelum temasya itu bermula lagi, Malaysia telah kehilangan 18 emas, 16 perak dan 30 gangsa, apabila sukan dan acara yang dimenangi di edisi lepas di Vietnam tidak dipertandingkan di Kemboja, termasuk sukan yang menjadi lubuk pingat seperti tenpin boling, memanah dan gimrama, manakala jumlah acara terjun, gimnastik artistik dan berbasikal dikurangkan.
“Tuan rumah juga menganjurkan sukan yang tidak popular di Malaysia seperti kun bokator, kun khmer, arnis ,vovinam, chess ouk chaktrang dan chess xianqi yang menawarkan 93 emas. Dari awal lagi kita hanya berpeluang memenang 59 peratus emas yang ditawarkan kerana hanya menyertai 340 daripada 579 acara,” jelasnya.
Beliau turut menggesa persatuan sukan kebangsaan untuk melakukan reformasi institusi supaya arena sukan negara dapat bergerak ke hadapan, termasuk Persekutuan Renang Malaysia (MS), untuk memberi tumpuan kepada pembangunan bakat baharu berikutan sukan itu paling banyak menawarkan pingat emas dengan 39 butir di Kemboja.
Hannah turut memuji atlet muda dan atlet yang kali pertama ke temasya tersebut susulan prestasi baik dipamerkan, terutama Umar Osman yang meraih emas 400m lelaki dengan catatan rekod kebangsaan.
Sebanyak 62 peratus iaitu 423 daripada 674 atlet, kali pertama beraksi di Sukan SEA dan seramai 211 orang daripada mereka berjaya menaiki podium dengan membawa pulang 12 emas, 20 perak dan 46 gangsa.
Sementara itu, atlet bawah 23 tahun meliputi 63 peratus (427 atlet), seramai 222 berjaya menaiki podium apabila meraih 18 emas, 21 perak dan 66 gangsa.
”Ini adalah strategi kita untuk menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand dan 2027 di Malaysia, kita yakin atlet muda kita mampu menyinar,” katanya.
Mengulas lanjut, Hannah berkata ketidakstabilan politik dan bajet yang rendah turut menyebabkan penurunan prestasi atlet apabila KBS menjadi antara kementerian yang menerima bajet paling rendah.
Beliau berkata, dana pembangunan sukan daripada Sports Toto juga, semakin berkurangan apabila nilainya hanya satu per tiga pada masa kini, berbanding 10 tahun yang lepas.
“(Ini kesannya) bila kita lihat sukan sebagai rekreasi sahaja, fokus kepada kementerian lain. Tetapi tahun ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah beri kita kenaikan 10 peratus, jadi kita dapat buat lebih banyak program akar umbi,” katanya. – TVS