Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor. Foto: TVS.

DUN Sarawak: Kerajaan digesa tetapkan syarat khas status bujang dalam program bantuan perumahan

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 19 Mei: Kerajaan Sarawak digesa menetapkan syarat khas dalam program perumahan untuk membantu individu yang berstatus bujang membuat permohonan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor mengenengahkan perkara itu susulan kebanyakan program bantuan perumahan seperti Rumah Spektra Permata (RSP) memberi keutamaan kepada pemohon yang telah berkahwin.

“Saya mewakili suara golongan belia atau individu bujang kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar menetapkan syarat khas bagi pemohon yang bujang supaya mereka juga boleh memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas usul penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa langkah ini dapat membantu mengurangkan kes berhubung bilangan penghuni dalam satu rumah melebihi kapasiti perumahan, terutamanya apabila anak-anak sudah bekerja tetapi tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa untuk tinggal bersama ibu bapa mereka.

Sementara itu, Dayang Noorazah juga meminta kerajaan Sarawak untuk membentuk badan, entiti, atau agensi yang mengalokasikan dana projek untuk membantu golongan sangat miskin memiliki rumah, tanpa mengira sama ada mereka memiliki tanah mahupun tidak.

“Saya telah berurusan dengan orang-orang yang tidak dapat memiliki rumah, yang memang malang. Mereka terpaksa tinggal di rumah ibu bapa atau saudara sehingga rumah itu mempunyai lima ketua isi rumah.

“Mereka juga bergantung kepada inisiatif Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan, yang kita semua tahu bahawa kuota yang diberikan setiap tahun sangat terhad,” jelasnya.

Menurutnya ketika ini program PPRT hanya mempertimbangkan pemohon dengan kawasan tanah tidak kurang daripada 700 kaki persegi.

“Bagaimana pula dengan nasib penduduk Sarawak yang memiliki kawasan kurang daripada 700 kaki persegi atau tidak memiliki tanah?,” soalnya kepada Dewan hari ini.

Justeru itu, beliau berharap cadangannya akan mendapat perhatian persidangan DUN kali ini agar mereka berstatus bujang atau mereka tidak berkemampuan turut berpeluang memohon bantuan perumahan selepas ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan