KUCHING, 19 Mei: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam meneliti permasalahan berkaitan liputan Internet di Sarawak.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata antara isu yang diberi tumpuan ialah menara-menara telekomunikasi yang telah didirikan namun belum beroperasi.
“Isu utama ialah isu Internet, itu yang kita akan fokus. Beberapa masalah utama, kita ada menara-menara tetapi tidak ada ‘kuali’ (piring pemancar).
“Ini antara perkara yang kita tahu, sedar dan hari ini adalah untuk meneliti beberapa perkara untuk segera diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, terdapat lebih 600 menara telekomunikasi telah dibina Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan kurang daripada separuh jumlah itu telah beroperasi.
“Ada setengah daripada menara-menara ini berada di kawasan yang ada liputan 4G, ada yang belum. Maksudnya di kawasan yang tidak ada liputan 4G.
“Kita sedang meneliti beberapa ikhtiar untuk segera menyelesaikan masalah ini termasuk memanggil syarikat-syarikat perkhidmatan telekomunikasi serta mengarahkan kepada MCMC.
“Kita akan buat pengumuman mengenai perkara ini,” katanya. -TVS