Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sulaiman Engal ketika ditemui pada Majlis Penangguhan Kursus Pengukuhan Road Traffic Accident. Foto: TVS

Enam rumah panjang dan kampung menerima bantuan bekalan air bersih

LIMBANG, 19 Mei: Enam rumah panjang dan kampung di kawasan hulu limbang yang berdepan krisis air susulan cuaca panas dan kemarau menerima bantuan bekalan air bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Limbang (JPBDL) yang juga Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal berkata, pengagihan bantuan air bersih itu dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Limbang ke kawasan-kawasan yang terlibat.

Katanya rumah dan kampung yang terlibat termasuk Kampung Long Beti, Rumah Helen, Kampung Pa Seling, Rumah Bujang Rantau Kiran, Rumah John dan Rumah Mual melibatkan 773 orang penduduk dan 1,546 kotak air bersih.

“Setakat ini Pejabat Daerah ada menerima beberapa permohonan untuk mendapat bantuan air bersih dan perkara ini juga telah kita rujuk kepada JKM.

“Saya difahamkan bahawa tindakan-tindakan untuk menyalurkan bantuan ini telah dilaksanakan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penangguhan Kursus Pengukuhan Road Traffic Accident (RTA) Zon Tujuh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak di Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Limbang, semalam.

Hadir sama, Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan, Ketua BBP Limbang Chong Bui Chyan, Ketua BBP Lawas Azman Ibrahim, Pegawai Penyiasatan Kebakaran Zon Limbang Clarence D. Primus Tiandun dan Ketua Bahagian Keselamatan Kebakaran Zon Limbang, Zaki Husin.

Kata beliau lagi JPBDL akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Limbang, JKM Limbang selain jabatan dan agensi kerajaan berkaitan untuk menangani cuaca panas dan mengenalpasti bantuan yang diperlukan.

“Bagi persiapan untuk cuaca panas ini kita sentiasa juga berhubung dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat, JKM selain jabatan serta agensi-agensi yang lain untuk memberi bantuan sekiranya terdapat keperluan di dalam menangani keadaan cuaca panas,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan