Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) pada sesi taklimat dalam lawatan kerja beliau ke Loji Metanol Sarawak Petchem, di Bintulu, hari ini. Foto: Fiqri Razak (TVS)

Sidang DUN: Loji Metanol Sarawak beroperasi suku pertama 2024

ByOdleen Catherny

KUCHING, 18 Mei: Projek Loji Metanol Sarawak yang dibangunkan oleh Sarawak Petchem Sdn. Bhd. telah mencapai kemajuan 90 peratus setakat bulan lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, loji itu yang terletak di Tanjung Kidurong, Bintulu dijangka akan beroperasi pada suku pertama 2024.

“Loji berkenaan berkeluasan lebih kurang 1,000 ekar akan menjadi kawasan perindustrian utama industri petrokimia di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab Azizul Anuar Adenan ( Gabungan Parti Sarawak – Tanjong Datu) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Terdahulu, Azizul Annuar ingin tahu tentang perkembangan industri petrokimia di Bintulu terutama membabitkan industri metanol.

Sementara itu, Malcolm Mussen memaklumkan, selain projek metanol, dua projek pelaburan dalam industri petrokimia sedang dan bakal dilaksanakan di Petchem Industrial Park, Tanjung Kidurong yang dibangunkan oleh Sarawak Petchem Sdn. Bhd.

“Ini melibatkan Projek Onshore Gas Plant 1 (OGP 1) oleh Sarawak Shell Bhd (Shell) yang sedang dalam pelaksanaan dan dijangka akan siap pada penghujung 2026.

“Satu lagi membabitkan Projek Onshore Gas Plant 2 (OGP 2) oleh PTTEP HK Offshore Limited (PTTEP) dan dijangka akan memulakan aktiviti penyediaan tapak bermula awal tahun hadapan dan seterusnya pembangunan loji akan bermula pada awal 2025,” ujarnya lagi.

Beliau turut memaklumkan Sidang DUN sebanyak RM45 bilion jumlah pelaburan dianggarkan bagi projek-projek Petchem Industrial Park, Tanjung Kidurong.

Jelas beliau juga, SEDC melalui anak syarikatnya SEDC Energy Sdn. Bhd. turut bekerjasama dengan pelabur-pelabur asing untuk melaksanakan projek-projek di Petchem Industrial Park.

“Antaranya bagi projek Medical Glove Manufacturing Plant dengan kerjasama pelabur dari Amerika Syarikat yang kini dalam fasa pembinaan dan dijangka beroperasi pada suku pertama 2024.

“Selain itu terdapat juga dua projek hidrogen dengan pelabur dari Korea Selatan dan Jepun dalam peringkat Front End Engineering Design dan disasarkan mencapai keputusan pelaburan kewangan pada suku pertama 2024 dan beroperasi pada 2027,” katanya lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan