Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sidang DUN dimaklumkan pembelian itu termasuklah bagi baja dan racun perosak. Foto Aziz Soleh (TVS)

Kerajaan Sarawak beli input pertanian secara pukal, kurangkan kesan kenaikan harga

BySheera Abang Mansor

KUCHING, 18 Mei: Kerajaan Sarawak memutuskan akan membeli input pertanian secara pukal bagi mengurangkan kesan kenaikan harga di pasaran.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak, Martin Ben berkata, polisi itu termasuklah pembelian baja, racun perosak dan racun herba.

Kata beliau, perkara itu akan dilaksanakan oleh Persatuan Peladang Negeri Sarawak (PPNS).

“Ini bertujuan untuk membolehkan penawaran harga yang kompetitif kepada ahli-ahli Pertubuhan Peladang kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kennedy Chukpai Ugon (Gabungan Parti Sarawak – Murum) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Berkaitan kenaikan harga input pertanian, Martin berkata, perkara itu berlaku disebabkan oleh gangguan bekalan bahan mentah dari negara pengeluar utama dan peningkatan kos logistik.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak telah mengambil beberapa pendekatan bagi memperkasa perkhidmatan pembangunan pertanian.

“Jabatan Pertanian Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak turut menggiatkan penerapan Amalan Pertanian Baik dan Amalan Penternakan Baik dalam kalangan petani dan penternak.

“Ini akan membantu mereka mengelakkan pembaziran.Menerusi langkah ini, kita berharap agar kos pertanian dapat dikurangkan namun pada masa sama berlaku peningkatan produktiviti dan pendapatan kepada petani dan penternak,” tambahnya.

Sementara itu, Martin berkata kerajaan tidak bercadang untuk membina pusat pengumpulan di Murum namun akan dipertimbangkan sekiranya wujud keperluan mendesak. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan