BALIK PULAU, 18 Mei: Tindakan seorang warga Vietnam membawa masuk kira-kira 10 kilogram (kg) tikus salai ke negara ini gagal apabila ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas di sini pada Rabu.
Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan pihaknya bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di pintu masuk negara sebaik pesawat tiba dari negara tersebut.
“Hasilan haiwan itu berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas JKDM dan pemeriksaan oleh pegawai MAQIS ke atas bagasi seorang penumpang dari Vietnam.
“Kita merampas produk tersebut seberat 10 kg yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1,000 bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, perbuatan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Seperti kita maklum, tikus boleh menyebabkan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung,” katanya lagi. – TVS