KUCHING, 17 Mei: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg malam ini menyerikan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri ‘PETRONAS Riang Ria Raya 2023’.
Pada majlis yang turut dihadiri Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan PETRONAS Datuk Adif Zulkifli itu, Premier turut menyampaikan ‘duit raya’ kepada 40 orang penghuni Rumah Kanak-kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching.
Adif berkata program itu bertujuan menyantuni kanak-kanak yang kurang bernasib baik selain meraikan staf serta rakan kongsi.
“Ini merupakan acara setiap tahun kami terutama di Kuching. Kami sangat gembira apabila seramai lebih 500 orang hadirin bersama-sama memeriahkan majlis pada malam ini,” katanya kepada TVS di sini, malam ini.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin. – TVS