KUCHING, 17 Mei: Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Datu Hashim Bojet optimis dapat mencapai sasaran RM8 bilion pendapatan tahunan dari eksport industri perkayuan menjelang 2030.
Menurutnya, meskipun angka itu satu lonjakan yang besar berbanding pendapatan tahunan industri itu sekitar RM3.9 bilion sekarang, tetapi sasaran itu tidak mustahil boleh dicapai dengan melakukan transformasi terhadap industri perkayuan.
“Kita tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa tetapi kita perlu usaha lebih. Contohnya melaksanakan industri kejuruteraan kayu dan juga menampilkan industri perabot berasaskan eksport.
“Pada masa ini, kita belum lagi berjaya untuk membangun industri perabot untuk pasaran eksport. Jadi itu antara usaha kita untuk meningkatkan pendapatan eksport kepada RM8 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS ketika ditemui selepas majlis penangguhan Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Kayu Sarawak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Jelas beliau, tanpa bahan mentah yang mencukupi dan mampan, agak sukar utuk mencapai sasaran tersebut.
Justeru, beliau berharap pembangunan ladang hutan akan dapat menyumbang hasil pengeluaran yang tinggi pada masa akan datang. – TVS