KUCHING, 17 Mei: Persidangan Rabies Di Borneo (RIB) 2023 pada 31 Oktober hingga 1 November ini akan memberi fokus terhadap kerjasama rentas sempadan dengan mengumpul pakar untuk berkongsi pendekatan mereka mengenai rabies.
Ketua Pegawai Eksekutif Place Borneo Sdn Bhd, Mona Abdul Manap berkata antara perkara yang bakal dibincangkan ialah perubatan tradisional dan bagaimana sesetengah orang mempercayai kaedah itu boleh merawat rabies yang akan dikongsikan perwakilan dari Kalimantan.
Kalimantan mempunyai pengalaman dalam situasi ini dan turut berkongsi ilmu melalui tinjauan Pengetahuan, Sikap dan Amalan (KAP) mereka.
“Perkongsian tinjauan KAP oleh Kalimantan ini amat berguna untuk kita tangani cabaran yang dihadapi dalam penerimaan dan pemahaman mengenai rabies dalam kalangan masyarakat kawasan pedalaman dan luar bandar.
“Ini kerana banyak amalan budaya dan kepercayaan mereka yang agak serupa dengan komuniti kita di sini, di Sarawak,” katanya dihubungi TVS, hari ini.
Mona turut menambah antara cadangan lain ialah kelestarian vaksinasi dan perubahan tingkah laku manusia.
Tambahnya lagi, kerjasama semua pihak diperlukan dalam memerangi kes rabies yang berleluasa di Sarawak.
“Dalam hal ini, kita juga memberi tumpuan lebih kepada komuniti setempat dan aspek sosial serta perubahan tingkah laku manusia dan pemahaman mengenai rabies itu sendiri, sama ada mereka faham atau tidak tentang gigitan rabies.
“Hal ini tidak akan selesai semalaman, tapi ia akan menjadi jangka panjang jika tidak ditangani dengan betul,” ujarnya. – TVS