KUCHING, 17 Mei: Kerjasama dalam sektor ekonomi, komunikasi dan sosial antara perkara utama dibincangkan dengan Kerajaan Sarawak menerusi lawatan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam Ke Malaysia, Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Mahmud Saidin ke Sarawak.
Menurutnya, lawatan seumpama itu adalah antara cara mengeratkan hubungan antara Brunei Darussalam dan Sarawak yang terjalin selama ini demi manfaat bersama.
“Tujuan saya berjumpa dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Sarawak dan Brunei.
“Sarawak dan Brunei mempunyai hubungan dua hala sangat erat. Kita telah membincangkan beberapa perkara mengenai usaha meningkatkan hubungan dua hala antara kedua negeri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Taib dan isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi di kediamannya di Demak Jaya di sini, hari ini.
Mahmud bersama delegasinya dalam rangka lawatan kerja ke Sarawak sejak semalam.
Beliau menyifatkan ia sebagai kunjungan perkenalan selepas dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Brunei Ke Malaysia sejak lebih setahun lalu.
Pada Selasa, beliau melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. – TVS