KUCHING, 17 Mei: Cadangan untuk mewujudkan sebuah kampung warisan dan budaya di Mukah menjadi keutamaan kerajaan dalam membangunkan sektor pelancongan menerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata warisan budaya komuniti Melanau merupakan satu produk pelancongan utama di Sarawak.
“Mukah merupakan pusat warisan dan budaya Melanau. Ia sering dikunjungi oleh pengunjung tempatan dan luar negara, terutamanya semasa Festival Kaul.
“Antara tarikan utama di Mukah adalah permainan tibou, permainan pantai, persembahan tarian Alu-Alu, tarian menyak, dan hidangan umai yang akan menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak.
“Oleh itu, kementerian menyambut baik cadangan untuk mewujudkan Kampung Warisan dan Budaya di sana,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Snowdan berkata kementeriannya bekerjasama rapat dengan Lembaga Amanah Kebajikan Melanau Oya dalam membangunkan Galeri Warisan Melanau di Mukah.
“Pada Oktober tahun lepas, satu bengkel selama dua hari telah diadakan untuk menyempurnakan pameran galeri ini dan ia dibiayai oleh Dana Mudahcara Warisan, Seni dan Budaya.
“Galeri yang mempamerkan warisan dan budaya Melanau dijangka siap pada tahun ini,” katanya. – TVS