KUCHING, 16 Mei: Persidangan Kejuruteraan Kayu Antarabangsa 2023 yang sedang berlangsung di Sarawak memberi petanda yang negeri ini serius untuk melonjak potensinya sebagai pemain utama industri berkenaan.
Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC), Datu Hashim Bojet berkata, usaha itu turut mendapat sokongan padu Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Kata beliau, persidangan dua hari berakhir esok di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) yang dihadiri pakar antarabangsa dalam bidang berkenaan turut menjadi bukti Sarawak mahu melangkah lebih jauh dalam sektor berkenaan.
“Sarawak mempunyai pelbagai sumber hutan yang boleh menjadi ramuan utama untuk kita membangunkan industri perkayuan khususnya melibatkan kejuruteraan.
“Apa yang ingin diketengahkan oleh Sarawak ialah meningkatkan perolehannya memandangkan industri ini bernilai tinggi, setakat ini kita mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat bertemu Abang Johari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Kunjungan itu bertujuan untuk menjemput Premier Sarawak menghadiri majlis penutup persidangan berkenaan esok.
Sementara itu, Hashim memberitahu, persidangan turut dihadiri oleh lima penceramah dari Australia, seorang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta penceramah tempatan yang melibatkan pembentangan 10 kertas kerja.
Berhubung kehadiran Abang Johari pula, beliau berkata, ianya merupakan tanda sokongan kepada STIDC dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).
“Ini juga merupakan tanda sokongan Abang Johari kepada pembangunan industri kejuruteraan kayu di Sarawak,” katanya. -TVS