KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak kini mengaktifkan semula perkhidmatan tele-kaunseling COVID-19 bagi membantu orang ramai yang terkesan dari segi psikologi dan emosi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah, situasi pandemik di negeri Sarawak yang semakin membimbangkan ketika ini membuatkan JKMS bertindak mengaktifkan semula perkhidmatan tersebut.
“Situasi COVID-19 kita ini berlarutan, berlanjutan dan keadaan di negeri Sarawak juga bertambah serius. Jadi dengan sebab itu, kita merasakan bahawa ada keperluan untuk kita menawarkan perkhidmatan. Perkhidmatan sokongan kita bagi yang memerlukan terutama yang terkesan dari aspek mental, dari aspek emosinya, dari aspek fizikalnya dan juga dari aspek kerahoniannya,” katanya dalam sidang media berkaitan perkhidmatan tele-kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di Kuching pada Jumaat.
Untuk tujuan ini, cawangan psikologi dan kaunseling JKMS telah bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi membantu masyarakat yang terkesan tanpa perlu bersemuka.
Bagi menambah baik perkhidmatan yang disediakan, JKMS turut mewujudkan pasukan sokongan iaitu sahabat psikologi support team yang terdiri daripada sukarelawan di seluruh Sarawak.
“Sukarelawan yang berminat untuk membantu orang yang di dalam kesusahan, ini perlu juga dipertingkatkan, jadi, mereka juga merupakan kumpulan yang sangat penting ,” ujarnya lagi.
Perkhidmatan tele-kaunseling JKMS adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang memerlukan bantuan psikologi.
Orang ramai yang memerlukan perkhidmatan tele-kaunseling boleh menghubungi pegawai JKMS di talian 082-445710 atau talian kasih 15999 atau mengisi maklumat di google-form yang telah disediakan.