Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Keadaan kereta Proton Saga dinaiki mangsa yang terbabit kemalangan dengan sebuah lori pasir di Kilometer 310.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Kampar hari ini. Foto: JBPM Perak

Lima sekeluarga terkorban nahas kereta langgar lori

ByTVS

IPOH, 16 Mei: Lima sekeluarga terkorban dalam nahas jalan raya yang membabitkan kereta jenis Proton Saga dinaiki mereka dengan sebuah lori di Kilometer 310.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Kampar awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira 2 pagi itu, Azriyani Abdul Latif, 45, serta anaknya Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8, dan Ahmad Uwais Qorni, 5, maut di tempat kejadian.

Turut disahkan terkorban adalah pemandu kereta iaitu anak lelaki berusia 23 tahun, Muhammad Azib.

Seorang lagi anak lelaki mangsa berusia tujuh tahun, Muhammad Fawwaz dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah dekat sini pada kira-kira 9.20 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta yang melanggar belakang sebuah lori membawa muatan pasir.

“Siasatan awal mendapati kereta dinaiki seorang ibu bersama empat anaknya sedang dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Teluk Intan sebelum hilang kawalan dan melanggar lori.

“Akibat kemalangan, tiga penunpang dan pemandu maut di tempat kejadian selain seorang anak mangsa kritikal dan dihantar ke Hospital Tapah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Mohd Yusri, waris kepada mangsa iaitu ayah mereka yang berada di Bertam, Pulau Pinang telah dimaklumkan berhubung kejadian itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah bagi urusan bedah siasat. Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Selepas melanggar belakang lori, Proton Saga itu terbakar di bahagian bonet hadapan. Kebakaran turut menyebabkan lecuran pada sebahagian mangsa yang maut,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan