SARIKEI, 15 Mei: Penganjuran Bazar Gawai di Pasar Sentral Sarikei diteruskan tahun ini susulan sambutan memberangsangkan pada tahun lepas.
Pengerusi Serakup Dagang Dayak Sarawak, Labok Ngirinding berkata, inisiatif itu bertujuan untuk menyediakan platform kepada usahawan tempatan mempromosikan produk mereka.
Katanya, sejak dibuka pada minggu lepas, jualan peniaga di situ menerima sambutan daripada orang ramai yang membuat persiapan menyambut Hari Gawai.
“Ramai pengunjung datang membeli barang di sini.Kami menjual pelbagai jenis makanan antaranya pansuh, ayam lulun, makanan panggang dan sate,” katanya kepada TVS semalam.
Menurut Labok, usahawan yang menyertai bazar berkenaan turut mempelbagaikan jualan mereka apabila ada yang menawarkan pakaian tradisional Iban, pakaian harian, kraf tangan dan kuih tradisional.
Katanya, bazar itu menempatkan sebanyak 55 buah gerai dengan harga yang sangat berpatutan.
Tambah Labok, lokasi strategik bazar itu juga memudahkan orang ramai malah ada pengunjung datang dari Sibu, Bintangor, Julau dan Pakan.
“Aktiviti jualan sebenarnya bermula pada 5 Mei dan berterusan hingga 28 Mei,” katanya.
Ujarnya, penganjur juga akan mengadakan Mantar Gawai pada 27 Mei dan disusuli dengan Majlis Penutupan Bazar Gawai pada keesokan harinya. – TVS