KUCHING: Keputusan kerajaan untuk menutup hampir sepenuhnya sektor ekonomi dan sosial perlu dilaksanakan.
Ini kerana kerajaan sudah tidak mempunyai pilihan, selain melaksanakan langkah tersebut sebagai usaha menurunkan kes harian yang meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.
“Kerajaan tidak ada pilihan, melainkan melaksanakan ‘lockdown’ hampir sepenuhnya iaitu sekurang-kurangnya untuk beberapa minggu.
Ini sebagai usaha untuk negara kita kembali mengurangkan kes di samping meningkatkan lagi program vaksinasi kita,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini, pada Sabtu.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh atau total lockdown sektor sosial fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini, kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan Majlis Keselamatan Negara.
Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.