Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Timbalan Ketua Pemuda GPS, Lukanisman Awang Sauni dan barisan pimpinan pergerakan Pemuda yang lain selepas majlis menandatangani plak perasmian Tekad Pemuda Perpaduan dan 'GP!' (Geng Perpaduan) pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Kuala Lumpur, semalam. Foto: BERNAMA

Majlis perundingan peringkat Pemuda akan ditubuhkan – Lukanisman

ByBernama

KUALA LUMPUR, 15 Mei: Majlis perundingan di peringkat pemuda bagi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan ditubuhkan dalam usaha memupuk kerjasama antara sayap-sayap yang ada, kata Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) Lukanisman Awang Sauni.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata penubuhan majlis perundingan itu dijangka akan dilaksanakan selepas selesai Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 semalam.

“Apa yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden-presiden parti yang lain tetap akan disuntik di dalam majlis itu, dan juga perbezaan sayap-sayap, ini akan kita bentuk dengan satu gerak kerja.

“Disebabkan itu kita menubuhkan ‘Geng Perpaduan’ yang merupakan platform pergerakan untuk kita merasai persamaan dalam perbezaan (parti politik) itu, dan selepas konvensyen ini, kita akan panggil untuk bermesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas sesi Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam.

Menyentuh mengenai konvensyen hari ini, Ahli Parlimen Sibuti itu berkata majlis perundingan berkenaan merupakan antara program besar yang disertai GPS selepas lima tahun parti itu tidak bersama dalam gabungan besar di peringkat nasional.

Menurutnya penampilan GPS adalah untuk melengkapkan kestabilan kerajaan, bagi mengelakkan kerajaan daripada terus dibelenggu dengan kejadian (kemelut) berterusan seperti yang berlaku pada pentadbiran sebelum ini.

“Ini (konvensyen) adalah platform terbaik untuk kita bersama-sama membentuk perbezaan dan mendapatkan persamaan dengan agenda #BinaBersama.

“Kita bertekad untuk pastikan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri dengan majlis perundingan Kerajaan Perpaduan akan dapat menstabilkan (negara), seterusnya membuahkan hasil dari sudut peningkatan ekonomi, keharmonian sosial dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer menyifatkan konvensyen hari ini amat bersejarah, di samping menjadi platform terbaik bagi memupuk perpaduan dalam kalangan pelbagai parti Kerajaan Perpaduan.

“Ia majlis yang amat baik bagi memupuk dan mengukuhkan Kerajaan Perpaduan, dan ia merupakan sesuatu yang amat bersejarah, dan saya merasakan ia sesuatu yang perlu kita lakukan bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan pelbagai pati, demi negara, bangsa, di samping menjunjung titah perintah Yang di-Pertuan Agong. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan