GEORGE TOWN, 14 Mei: Punca utama bekalan air ke Kedah dan Pulau Pinang di Sungai Muda dilaporkan menurun mendadak bermula pagi tadi.
Situasi itu menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang serta sekitar Sungai Petani dan Kulim di Kedah mengalami krisis bekalan air.
Keadaan itu turut menimbulkan keresahan penduduk di kedua-dua negeri kerana berlaku ketika keadaan cuaca panas yang sedang melanda seluruh negara.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam satu kenyataan berkata, penurunan mendadak paras air Sungai Muda pada pukul 5 pagi tadi menyebabkan pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Butterworth terjejas.
Baca artikel berkaitan >>>>> Suhu di Singapura catat rekod 37 darjah celsius, tertinggi dalam tempoh 40 tahun
“PBAPP telah menyalurkan air dari Empangan Mengkuang di Bukit Mertajam sebagai tindakan kecemasan buat masa ini, namun masih tidak mencukupi untuk menampung penurunan mendadak itu.
“Buat masa ini, LRA Sungai Dua tidak dapat beroperasi secara normal untuk merawat air 1,000 juta liter sehari (JLH) untuk dibekalkan ke Seberang Perai dan kawasan sekitar Pulau Pinang.
“Tahap pengeluaran loji itu ketika ini terhad kepada 600 hingga 650 JLH,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Jelas PBAP lagi, situasi berkenaan menyebabkan bekalan air di sesetengah kawasan akan mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air bermula hari ini sehingga Rabu.
Sementara itu, di Kedah, Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dalam kenyataan berkata, kira-kira 251,800 akaun di daerah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling terjejas akibat situasi itu.
“Gangguan bekalan air tidak berjadual bermula pukul 7.25 pagi tadi disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu barrage Sungai Muda.
“Sebanyak 171,800 akaun di daerah Kuala Muda serta 80,000 akaun di Kulim dan sebahagian di kawasan Baling terjejas,” kata kenyataan itu. -TVS