KUCHING, 13 Mei: Pelukis veteran, Bong Choo Chew membuktikan usia sekadar angka apabila dia berjaya mencapai cita – cita untuk mengadakan pameran solonya hari ini.
Choo Chew, 70, hari ini tersenyum puas apabila berpeluang berkongsi lebih 50 karya lukisan minyaknya.
Lebih istimewa, kesemua karya yang bertemakan menjaga alam sekitar itu dihasilkan olehnya dalam tempoh 30 tahun.
“Pameran ini yang bertemakan Dialogue With Our Nature sebenarnya memberi makna yang besar kepada kita kerana menyeru supaya menjaga alam sekitar termasuklah tidak membuang sampah ke dalam sungai atau laut,” katanya di sini hari ini.
Pameran berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting di Hoan Gallery di La Promenade Mall di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Choo Chew berkata, isu perubahan iklim yang semakin diperkatakan ketika ini serta masalah pencemaran mencetuskan inspirasinya untuk menghasilkan karya yang menjurus kepada alam semula jadi.
“Saya berharap agar masalah pencemaran ini dapat ditangani, kita perlu menghargai dan menyayangi alam sekitar supaya boleh hidup dalam keadaan yang bersih dan sihat,” ujarnya.
Sementara itu, Sebastian Ting berkata, karya seni berasaskan lukisan minyak perlu terus dipelihara supaya tidak hilang ditelan zaman.
Katanya, kaedah lukisan cara itu bermungkinan pupus dalam tempoh 20 tahun akan datang jika tiada generasi penyambung.
“Beliau katakan, tidak ramai yang mahu terlibat dalam lukisan minyak kerana ia sangat mencabar dan memerlukan kesabaran,” katanya.
Pameran berkenaan berlangsung sehingga 31 Mei ini. -TVS