KUCHING, 13 Mei: Pemimpin masyarakat di Santubong digesa agar memanfaatkan peruntukan pembangunan yang disediakan oleh kerajaan, kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, bagi menerima peruntukan itu, barisan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu menghantar permohonan.
Kata beliau, ini bagi memudahkan mereka mempunyai dana mencukupi sekali gus dapat melaksanakan aktiviti dan program yang memanfaatkan masyarakat setempat.
“Permohonan hanya boleh dilakukan dua kali setahun.
“Mereka perlu menyenaraikan semua program yang ingin dilaksanakan selama enam bulan untuk setiap permohonan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Meriahnya Raya N4 Pantai Damai anjuran Kejiranan Mesra Taman Ria, Bandar Baru Samariang di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Datuk Bandar Kuching Utara, Datu Junaidi Reduan.
Mengulas lanjut, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, permohonan mengikut kawasan masing-masing perlu dihantar segera kerana proses kelulusannya mengambil masa.
“Peruntukan yang diluluskan itu boleh digunakan termasuk bagi menaik taraf kawasan masing-masing yang seterusnya mampu menarik perhatian pelancong.
“Kita mahu tingkatkan lagi pelaksanaan program di Sarawak, (kalau boleh) biarlah sambutan Aidilfitri juga dijadikan produk yang dapat menarik pelawat untuk melihat budaya, makanan dan adat tradisi kita,” ujarnya. -TVS