KUCHING, 13 Mei: Kerajaan Sarawak giat membangunkan prasarana dan infrastruktur baharu bagi memenuhi serta menampung acara-acara perniagaan berskala besar yang bakal berlangsung di Sarawak.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini merupakan strategi Sarawak merapikan diri untuk menjadi ‘legacy capital’ di rantau ini.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Sarawak kemudi industri acara perniagaan di Malaysia – Abang Johari
- 2. TVS rangkul Anugerah Kewartawanan Penyiaran di Anugerah Anak Sarawak ke-10
“Kerajaan Sarawak sudah pun merancang untuk membangunkan infrastruktur baharu seperti Pusat Konvensyen Borneo Kuching baharu dan juga sebuah pusat konvensyen di Miri.
“Sarawak juga sedang menubuhkan syarikat penerbangan sendiri bagi meningkatkan ketersambungan kita di rantau ini,” katanya dalam Majlis Anugerah Anak Sarawak ke-10 di sini pada Jumaat.
Abang Johari dalam pada itu turut menegaskan bahawa industri acara perniagaan akan menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Eric Van Piggelen, BCCK baharu yang akan dibina berdekatan lokasi sedia ada dijangka akan siap dalam masa empat hingga lima tahun lagi.
“Buat masa kini, tiada perincian terperinci lagi namun apabila ia siap kelak ia mampu menampung sehingga 10,000 hingga 15,000 orang dalam satu masa.
“Hasrat penambahbaikan itu menjadikan kita mampu berdiri antara pemain yang hebat dalam industri ini di peringkat global,” katanya kepada TVS selepas majlis semalam.
Terdahulu, majlis turut menyaksikan BCCK merangkul Anugerah Pusat Mesyuarat Cemerlang Anugerah Anak Sarawak ke-10. – TVS