Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Len Talif Salleh. Foto fail: Fiqri Razak (TVS).

Permit sah diperlukan untuk eksport burung walit – Len Talif

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 12 Mei: Pengusaha dan penternak burung walit yang berhasrat mengeksport dan menjualnya diminta untuk mendapatkan lesen dan permit yang sah daripada pihak berwajib sebelum menjalankan aktiviti sedemikian.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, setakat hari ini hanya 491 pengusaha mempunyai permit yang sah manakala lebih daripada 800 pengusaha dikenal pasti beroperasi secara haram.

800 pengusaha burung walit beroperasi secara haram

“Untuk eksport, anda memerlukan permit dan lesen, begitu juga sekiranya mahu menjualnya.

“Dalam undang-undang dan ordinan jelas menunjukkan apakah permit yang diperlukan untuk terlibat dalam aktiviti ini dari mendirikan rumah hingga eksport.

“Ini kerana kita mahu menjaga industri burung walet daripada dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab seperti yang berlaku sekitar lima atak enam tahun lepas yang menyaksikan ketika itu kita mengalami masalah untuk mengeksportnya ke China.

“Kita nak jaga industri ini, jadi kami perlu bertegas dalam penguatkuasaan undang-undang mengenainya, “ katanya pada sidang media pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Universiti Sunway di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini.

Mengulas lanjut, Len Talif berkata, antara syarat untuk mendapatkan permit adalah rumah burung walit tersebut tidak didirikan di kawasan bandar.

Jelasnya, pihak SFC tidak akan mengeluarkan permit sekiranya lokasi rumah burung walit itu terletak di kawasan bandar kerana haiwan itu boleh disyaki pembawa virus dan seterusnya  masyarakat akan berdepan dengan masalah kesihatan.

Sementara itu, mengulas mengenai rampasan sarang burung walet oleh SFC yang dianggarkan bernilai lebih RM3 juta pada 3 Mei lepas di Sibu, Len Talif berkata ia dilakukan susulan pengusaha berkenaan tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Walaupun mereka ada permit tetapi disyaki tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan, kalau kita lihat Wildlife Ordinance 1989, ia jelas menunjukkan apakah perkara yang perlu dipatuhi,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan