KUCHING, 11 Mei: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak akan mengumumkan mengenai insentif kepada atlet Sarawak yang cemerlang pada Sukan SEA 2023 yang sedang berlangsung di Kemboja.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu akan diperincikan oleh Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah selaku menteri bertanggungjawab.
“Selalunya kita beri (ganjaran kepada atlet) Dato Karim (Abdul Karim) akan umumkan, jadi kita serahkan kepada beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai ganjaran yang akan diberikan oleh Kerajaan Sarawak kepada atletnya yang berjaya pada pentas temasya dwitahunan itu.
Antara Anak Sarawak yang telah menggegarkan Sukan SEA setakat ini termasuklah Grace Wong (baling tukul besi) serta dua atlet terjun iaitu Kimberly Bong dan Enrique Maccartney Harold yang masing – masing meraih pingat emas acara masing – masing.
Gimnas Ally Hamuda Abdullah turut cemerlang apabila membawa pulang dua pingat gangsa pada penampilan kali pertamanya di temasya berkenaan.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Sukan SEA: Kimberly Bong tidak jangka raih emas
- 2. Jonathan Nyepa puas hati bantu raih pingat 4x100m
- 3. Gimnas Sarawak raih dua pingat pada penampilan pertama di Sukan SEA
- 4. Sukan SEA: Latihan dua bulan di China membuahkan hasil, kata Grace
Sarawak sebelum ini menyediakan insentif kepada atletnya yang cemerlang pada Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan Olimpik, Sukan Para ASEAN serta Sukan Malaysia (SUKMA).
Pada bulan Februari lepas, insentif keseluruhan berjumlah kepada RM710 250 diserahkan kepada atlet Sarawak yang cemerlang pada empat temasya sukan utama yang berlangsung tahun lepas. -TVS