LANGKAWI, 11 Mei: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang memandu sebuah kereta sejauh 2.5 kilometer (km) sebelum terbabas di Bukit Tangga, Titicawang di sini malam kelmarin dikatakan mengetahui cara mengendalikan kereta.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari berkata, berdasarkan temu bual pihaknya, budak tersebut menunjukkan dia mengetahui fungsi pedal minyak dan gear.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Polis rakam keterangan ibu bapa kes budak 6 tahun pandu kereta
- 2. Budak lelaki 6 tahun pandu kereta, terbabas
“Dia menunjukkan (kepada polis) cara menghidupkan enjin dan dapat hidupkan apabila diminta.
“Kanak-kanak itu juga tahu cara turunkan brek tangan dan mengundur kerana pada malam itu dia mengundurkan dahulu kereta tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, pemeriksaan pada kamera papan pemuka kereta jenis Toyota Vios itu mendapati pemanduannya tidak begitu stabil yang kadang kala memasuki lorong bertentangan serta bergerak ke kiri dan kanan.
“Polis juga menolak sebarang unsur mistik dalam kejadian tersebut seperti yang ditularkan di media sosial,” katanya lagi.
Tambah beliau, kereta dipandu kanak-kanak itu berada di separuh perjalanan ketika terbabas kerana lokasi kedai yang ingin ditujunya adalah berjarak kira-kira 5 km dari rumahnya di Kampung Padang Mengkuang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.25 malam itu, budak lelaki itu cedera ringan pada dagu selepas kereta dipandunya tanpa pengetahuan ibu bapa terbabas di Jalan Bukit Tangga, Titicawang di sini.
Dia mamandu sambil ditemani adik lelaki berusia tiga tahun yang tidak cedera dalam kejadian tersebut sebelum kereta itu terbabas dan melanggar tiang lampu.
Kanak-kanak tersebut dikatakan keluar ketika ibu bapa mereka sedang tidur. -TVS