GEORGE TOWN, 11 Mei: Kira-kira 1.5 tan abu al-Quran dilupuskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) Pulau Pinang di perairan di sini hari ini.
Program Pemuliaan (Pelupusan) al-Quran itu membuat pelupusan secara tertib membabitkan kira-kira 2,750 naskhah al-Quran yang telah diproses menjadi bongkah abu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia membabitkan pengumpulan teks dan bahan al-Quran yang perlu dimuliakan (dilupuskan) dari semasa ke semasa.
Ujar beliau, pengumpulan itu dibuat menerusi rampasan al-Quran tiada perakuan KDN daripada penjual, pengimport, pengedar di premis jualan, premis simpanan, pintu masuk negara dan perniagaan atas talian.
“Selain itu, melalui program advokasi iaitu orang ramai menyerahkan teks al-Quran tiada perakuan KDN secara sukarela untuk ditukar dengan al-Quran yang ada perakuan.
“Al-Quran itu juga dikumpul menerusi program komuniti iaitu yang rosak akibat bencana dan telah usang,” katanya pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban di sini hari ini.
Sebelum itu, Shamsul Anuar mengikuti proses pelupusan tersebut yang dilaksanakan di atas kapal polis marin pada kedudukan kira-kira 3.5 batu nautika selatan Pulau Kendi di sini.
Menurutnya kaedah pemuliaan itu adalah mengikut Garis Panduan Pelupusan Teks al-Quran yang dikeluarkan KDN melalui Lembaga Pengawalan Pelesenan dan Pencetakan Teks al-Quran (LPPPQ). – TVS