Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Abang Johari dan pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif Chitose Group, Dr Tomohiro Fujita melawat fasiliti pengeluaran alga di sini hari ini. Foto Faitullah Morni (TVS)

Sarawak kini miliki loji jana kuasa alga terbesar di dunia – Abang Johari

ByYusuf Shukri

KUCHING, 10 Mei: Loji jana kuasa tenaga hijau berasaskan alga di Sejingkat mampu mengeluarkan sekitar 45 tan bahan api penerbangan mampan (SAF) untuk kegunaan pesawat di seluruh dunia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, anggaran berkenaan diperolehi hasil penyelidikan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Pusat Biodiversiti Sarawak (SCB) yang bekerjasama dengan syarikat Jepun, Chitose Group.

Baca artikel berkaitan > > > Premier Sarawak lancar fasiliti loji janakuasa alga pertama hari ini

Kata beliau, ini sekali gus bakal memberi pendapatan yang lumayan kepada Sarawak selepas SAF dipasarkan secara komersial.

Sarawak pengeluar SAF pertama di Malaysia

“Sarawak mahu menghasilkan bahan bakar berasaskan SAF ini pada skala yang lebih besar.

“(Ini kerana) kita tahu permintaan tenaga hijau adalah sangat tinggi di seluruh dunia.

“Untuk muncul sebagai pemain utama dalam industri tenaga ini, Sarawak bercadang mahu menubuhkan fasiliti yang sama tetapi lebih besar iaitu di tapak seluas 10,000 hektar yang dapat menghasilkan 6,000 tan SAF sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Loji Jana Kuasa Alga dan Chitose Carbon Capture Central terbesar di dunia di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chitose Group, Dr Tomohiro Fujita.

Sarawak miliki loji jana kuasa alga terbesar di dunia.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi SBC, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengerusi SEB, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.

Sementara itu, Abang Johari memberitahu, tapak untuk penubuhan loji jana kuasa alga baharu itu sudah pun dikenal pasti iaitu di antara Balingian dan Tanjung Manis.

Kata beliau lagi, penghasilan tenaga ini berjaya dilakukan atas faktor cuaca Sarawak yang tidak terlalu panas.

“Kita sangat beruntung kerana Sarawak diberi cuaca yang sesuai untuk menerajui usaha ini.

“Di samping itu juga, kita dapat memupuk bakat-bakat tempatan menerusi kerjasama dengan Chitose Group.

“Ini merupakan antara tanda yang Sarawak sedang maju ke hadapan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan SAF bakal digunakan untuk pesawat syarikat penerbangan Sarawak yang akan ditubuhkan kelak dan perinciannya akan diumumkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 23). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan