MIRI, 10 Mei: Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Miri akan menganjurkan Wacana Citra Bandaraya Miri Sastera Karya, Titik Tumpu Pelancongan pada 16 Mei ini.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Miri (MBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak, Institut Perguruan Kampus Sarawak (IPGKS) Miri dan Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA).
Pegawai Pengurusan Korporat Pustaka Miri, Shirley Szebah Mambai berkata, wacana berkenaan merupakan salah satu program bersempena sambutan ulang tahun Hari Bandaraya Miri ke-18.
“Wacana tersebut akan menampilkan barisan panel profesional dari pelbagai latar belakang membincangkan konteks pembangunan, kesenian, pelancongan dan aspek-aspek lain berkaitan,” katanya menerusi kenyataan media.
Sesi pertama bermula pada pukul 8 pagi menumpukan kepada Sastera Pelancongan dalam Miri, Kota Inspirasi dengan ahli-ahli panel terdiri daripada penulis Sarawak seperti Benyamin Matussin, penulis dan ahli PUTERA, Poul Nanggang dan Timbalan Pengarah DBP Sarawak, Ja’afar Hamdan.
Sesi itu akan dikendalikan oleh moderator penulis Sarawak, Abang Median Abang Said.
Untuk sesi kedua yang membincangkan Citra Bandaraya Miri, ahli-ahli panel merupakan Pengarah DBP Sarawak, Abang Haliman Abang Julai, Timbalan Datuk Bandar MBM, Ariffin Mohamad dan Pegawai Bahasa Bahagian Sastera dan Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam, Wathiqah Amirah Wasli dengan kendalian Moderator Pegawai DBP Sarawak, Nasir Hamid.
Untuk maklumat lanjut serta pendaftaran kehadiran, orang ramai boleh menghubungi penganjur di talian 085-422 525 atau layari laman sesawang serta media sosial Pustaka Miri.-TVS