MIRI, 10 Mei: Bandaraya Miri akan meraikan ulang tahun ke-18 pada bulan ini dengan sambutan bertemakan Miri@18 Going International.
Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, acara sambutan itu bertujuan untuk mempromosikan bandar raya ini sebagai lokasi pelancongan kepada orang luar.
Kata beliau, sejajar dengan usianya, Miri akan fokus kepada hubungan luar.
“Ini merupakan satu cara untuk mempromosikan Miri sebagai bandar pelancongan, pendidikan dan sebagainya seperti visi pada asalnya untuk Bandar Miri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Hari Terbuka Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Miri May Fest di Dewan Bandaraya Miri di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menyeru supaya orang ramai menghadiri Hari Terbuka Bandaraya Miri yang akan diadakan pada 20 Mei di Aras 1, Dewan Bandaraya Miri dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam.
Sempena sambutan berkenaan, pelbagai aktiviti akan dilangsungkan termasuk Miri May Fest dan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka pada 28 Mei sehingga 22 Julai.
Miri May Fest akan melabuhkan tirai dengan Majlis Makan Malam di Eastwood Valley pada 28 Mei yang akan dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. -TVS