JAKARTA, 9 Mei: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia bagi menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 selama tiga hari yang bermula hari ini.
Ketibaan Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Lapangan Terbang Komodo pada pukul 3.45 petang waktu tempatan dengan pesawat khas disambut oleh Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi.
Turut menyambut Anwar ialah Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin.
Anwar dijangka akan menyertai pemimpin ASEAN yang lain bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 yang terbahagi kepada sesi pleno dan sesi pemukiman.
Anwar berkata, beliau akan memastikan Malaysia terus memainkan peranan signifikan dalam ASEAN khususnya melibatkan usaha-usaha pembangunan, ekonomi, sosio-budaya, keselamatan dan politik.
“Insya-Allah, Malaysia juga akan sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan hubungan bersama negara ASEAN berteraskan semangat Madani dan gagasan ASEAN” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Anwar juga dijadual untuk mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia – Filipina (BIMP-EAGA) dan juga menghadiri Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Sidang berkenaan dijangka akan mengukuhkan lagi kerjasama rentas sempadan dalam usaha meningkatkan nilai perdagangan dan pelaburan di wilayah-wilayah tersebut.
Anwar turut menambah, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 merupakan platform yang baik kepada semua negara anggota untuk membincangkan hala tuju dan usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN. -TVS