ANKARA, 9 Mei: Pemimpin serantau mengutuk serangan ke atas pegawai ASEAN yang dalam misi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian di Myanmar, lapor Agensi Anadolu (AA).
Walaupun masih tidak jelas bila dan siapa yang menyerang pegawai-pegawai terbabit, perdana menteri bayangan Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar Mahn Win Khaing Than menyalahkan junta tentera yang berkuasa di negara itu atas serangan yang berlaku di negeri Shan.
“Serangan ke atas konvoi di Negeri Shan yang menurut tentera Myanmar kononnya dilakukan oleh PDF (Pasukan Pertahanan Rakyat anti-junta) tidak masuk akal,” katanya dalam ciapan pada Isnin.
Beliau berkata Negeri Shan wilayah terbesar daripada 14 bahagian pentadbiran Myanmar, dikawal ketat oleh tentera dan pasukan ERO (Pertubuhan Revolusi Etnik).
“Para diplomat melawat untuk bertemu pelarian perang. Hanya mereka yang takut kebenaran didedahkan perlu dipersalahkan,” kata Than.
Presiden Indonesia Joko Widodo juga mengecam serangan ke atas pegawai ASEAN dan menggesa agar keganasan dihentikan di negara yang dilanda perbalahan itu.
Pemimpin Indonesia itu yang lebih dikenali sebagai Jokowi, tidak memberikan butiran mengenai kejadian itu namun berkata pegawai berkenaan diserang ketika menyampaikan bantuan kemanusiaan, lapor akhbar harian Inggeris Malay Times.
Serangan itu, katanya tidak akan menghalang usaha Jakarta dan ASEAN untuk mendesak keamanan di Myanmar.
“Hentikan kekerasan, hentikan keganasan kerana rakyat yang akan menjadi mangsa. Keadaan ini tidak akan memenangkan mana-mana pihak,” katanya dipetik sebagai berkata.
Jakarta menggalakkan semua pihak berkepentingan supaya mengadakan dialog dan mencari penyelesaian, katanya.
Belum ada kenyataan daripada junta Myanmar sehingga laporan ini diterbitkan.
ASEAN mengeluarkan pelan Konsensus Lima Perkara yang juga dikenali sebagai 5PC semasa Brunei menerajui perkumpulan serantau itu tidak lama selepas rampasan kuasa pada Februari 2021 oleh tentera Myanmar.
Pengambilalihan tentera mencetuskan protes besar-besaran di Myanmar, dengan tentera junta membunuh lebih 1,500 orang dalam tindakan keras terhadap perbezaan pendapat, menurut kumpulan pemantau tempatan Persatuan Bantuan Tahanan Politik.
Walaupun protes berkurangan sejak kebelakangan ini, 5PC ASEAN menggesa semua pihak di Myanmar yang majoritinya beragama Buddha supaya menghentikan keganasan di negara itu.
Menerusi 5PC, ASEAN turut menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana manakala utusan khas ditugaskan ke Myanmar untuk bertemu semua pihak yang terlibat.
ASEAN telah mengadakan beberapa sidang kemuncak dan mesyuarat sejak rampasan kuasa terbaharu tentera di Myanmar tanpa menjemput wakil junta. -TVS