MIRI, 7 Mei: Pameran kereta merupakan satu platform yang baik untuk peminat kereta menonjolkan kreativiti mereka apabila mengubah suai kereta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berpendapat ini merupakan cara yang baik untuk seseorang menunjukkan kemahiran mereka mengenai kereta.
“Kita boleh melihat kreativiti orang kita, kereta mereka ubah suai termasuk enjin. Ada juga yang mempunyai hidraulik untuk naik turun kereta. Ini satu cara yang baik di mana kita boleh menunjukkan kemahiran diri sendiri iaitu bagaimana kita boleh memperkenalkan bentuk baharu dan cara memperbaiki pelbagai jenis kereta,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Miri Street Autofest di Coco Cabana di sini, hari ini.
Kim Shin juga berharap pameran sebegini dapat dijadikan acara tahunan di Coco Cabana bagi menarik lebih ramai pengunjung ke bandaraya Miri.
“Kita menggalakkan satu pameran seperti ini dan saya berharap ini akan diadakan sebagai satu acara tahunan di bandaraya Miri. Coco Cabana tapak yang sesuai untuk mengadakan acara, berdekatan dengan laut jadi membolehkan ramai orang datang ke sini untuk melihat pameran di sini,” ujarnya.
Program Miri Street Autofest telah diadakan selama dua hari pada 6 dan 7 Mei yang mempamerkan pelbagai kereta buatan khas sendiri dan kereta lama dalam kalangan peminat kereta.
Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pengunjung dari Miri, Kuching, Sibu dan Lawas termasuk dari Brunei Darussalam. -TVS