KUCHING, 7 Mei: Seramai 220 pemilik kereta modifikasi mendaftarkan diri dan hadir di tingkat tiga, tempat letak kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching bersempena acara pertama Car Meetup and Automotive Exhibition anjuran sebuah syarikat pengurusan acara dari Sabah, Fidodido Event Sdn Bhd.
Menurut pengasas syarikat Fidodido Event, Mohd Norazuwan Abd Wahid, 32, yang berasal dari Kota Kinabalu Sabah, program sama telah diadakan lebih 15 kali di Sabah sejak ia bermula, malah ia juga turut diadakan di Kuala Lumpur pada Oktober tahun lalu.
Katanya, ini kali pertama dia dan lima rakan dari Sabah menganjurkan program tersebut di Kuching dan mendapat kerjasama salah seorang peminat modifikasi kereta yang berasal dari negeri ini.
“Acara kami berbeza berbanding pertunjukan kereta yang lain kerana fokus kami adalah perjumpaan pemilik kereta untuk saling mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.
“Kami juga tidak mengenakan apa-apa syarat kepada pemilik kereta seperti model kereta atau jenama kereta. Semua kereta bebas untuk hadir memeriahkan acara hari ini dan menunjukkan modifikasi kereta yang telah dilakukan.
“Selain itu, yuran yang kami kenakan bagi perjumpaan ini jauh lebih murah iaitu RM30 bagi sebuah kereta dan hadiah diberikan adalah menerusi cabutan nombor bertuah,” katanya ketika ditemui TVS.
Antara hadiah yang bakal diterima pemenang bertuah adalah sepasang seat berjenama Recaro bernilai lebih RM2,500, stiker balutan kereta bernilai RM1,800, minyak enjin serta aksesori kereta.
Bagi penganjur bersama program tersebut, Azrin Maula Awang Sani,32, yang berasal dari Kuching, peluang bertemu Norazuwan pada bulan puasa lalu mendorong beliau dan rakan-rakan untuk menyokong idea program tersebut.
“InsyaAllah kami juga bercadang untuk menganjurkan program sama penghujung tahun ini,” katanya lagi.
Beberapa kelab kereta turut menyertai program yang berakhir sekitar jam 5 petang ini antaranya Bezza Gang, Bad Angel, Havoc dan Alza Stance. -TVS