KUCHING, 7 Mei: Lebih 2,000 peserta mengambil bahagian dalam Larian Amal Kelab Rotary Kuching 2023 di CityOne Megamall, bagi mengumpul dana yang akan dikembalikan semula kepada masyarakat khususnya bagi tujuan dialisis.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha kelab tersebut amat dekat dengan beliau kerana bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan terutamanya untuk mendapatkan mesin dialisis.
“Kita berharap lebih ramai lagi menyertai program seumpama ini dan saya juga mengetahui banyak Badan Bukan kerajaan (NGO) yang melakukan perkara seperti ini dan kita boleh bekerjasama dengan mereka.
“Selain menyertai dan menikmati susana larian amal seperti ini, ia juga membantu orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dan dalam masa yang sama kita membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Larian Amal Kelab Rotary hari ini.
Nancy berkata, disebalik keghairah menganjurkan acara seumpama itu, beliau turut mengingatkan penganjur untuk mengadakannya lebih awal.
“Ia bagi mengelakkan berlaku masalah atau insiden tertentu memandangkan keadaan cuaca serta persekitaran yang agak panas sehingga boleh mengakibatkan masalah strok haba.
” Jika kita bermula awal, maka orang ramai boleh balik awal. kita tidak menggalakan mereka untuk berada lama di luar dan kita juga tidak mahu mereka terkena strok haba susulan keadaan cuaca panas dan kering melanda ketika ini,” katanya. – TVS