Miri, 6 Mei: Potensi mempertingkatkan hubungan kesihatan sektor awam dan swasta antara agenda Kertas Putih Kesihatan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.
Menurut beliau ini merupakan kaedah bagi mengurangkan kos perkhidmatan kesihatan pesakit tanpa perlu dihantar jauh untuk mendapatkan rawatan.
“Dalam Kertas Putih ini, kita akan menggunakan empat tonggak, juga termasuk bagaimana kita akan membiayai sistem penjagaan kesihatan kita dalam 15 tahun akan datang dan kita akan menggunakan tonggak 1 berhubung kita akan meningkatkan hubungan sektor awam dan swasta terutamanya berkenaan virus Covid.
“Kita berterima kasih kepada hospital swasta BMC di sini dengan inisiatif penyumberan luar perkhidmatan tertentu terutamanya dalam kecemasan. Itulah cara untuk menjadikan lebih murah, bukannya kita menerbangkan pesakit kita dari Miri ke Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media majlis pelancaran Sistem Pengimejan Pembedahan O-Arm di Borneo Medical Centre (BMC) Miri pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian dan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
Lukanisman mendedahkan terdapat juga perancangan dalam Kertas Putih Kesihatan untuk mengembangkan sektor pelancongan kesihatan bersama hospital swasta pada masa akan datang oleh kerana potensi besar yang dilihat melalui tempahan khidmat kesihatan dari Borneo, Kalimantan dan Asia Tenggara.
Untuk rekod, Kertas Putih Kesihatan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada Jun 2023 oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. – TVS