Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mayat mangsa ditemui tiga jam selepas kejadian serangan buaya. Foto: IPD Dalat.

Nelayan dibaham buaya ganas di Oya ketika menjala

DALAT, 6 Mei: Seorang nelayan berusia 58 tahun menjadi mangsa terkini serangan buaya ganas di Kampung Boom, Oya di sini, malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Roslin Madaie berasal dari Kampung Boom, Oya, dipercayai telah dibaham dan diheret buaya ke dalam sungai ketika menjala udang di sungai berkenaan sekitar jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daaerah Dalat, Deputi Superintendan (DSP) Saga Chunggat berkata, insiden tersebut telah dimaklumkan oleh orang awam yang menghubungi beliau pada jam 11.26 malam.

“Berdasarkan maklumat saksi kejadian, mangsa telah disambar seekor buaya ketika sedang menebar jala dari botnya sebelum diheret ke dalam Sungai Batang Oya,” katanya ketika dihubungi TVS.

Susulan kejadian itu, katanya, rakan mangsa telah meminta bantuan orang kampung untuk menjalankan pencarian di lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja selepas serangan berlaku, penduduk kampung telah berusaha mencari mangsa dengan menggunakan kaedah tradisional iaitu dengan menunda mata kail yang disusun rapi dengan beberapa buah bot.

“Ketika pencarian dilakukan kira-kira selepas tiga jam serangan buaya ganas itu, tali kail yang digunakan sebuah bot yang mengikuti operasi pencarian telah tersangkut pada baju mangsa pada jam 12.30 tengah malam,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa didapati tidak bernyawa selepas ditarik keluar dari sungai.

Menurut beliau, insiden tersebut merupakan kes serangan buaya yang kelapan dilaporkan di Balai Polis Oya, Dalat.

“Daripada lapan kes tersebut, enam mangsa telah dijumpai meninggal dunia manakala dua selamat,” dedahnya.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Dalat untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan dan Pegawai Penyiasat mendapati kecederaan pada badan mangsa adalah sinonim dengan kecederaan gigitan binatang buas,” jelasnya lagi.

Kes telah diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan