Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau bercakap kepada pemberita hari ini. Foto TVS.

Penerbangan terus Kuching-Jakarta, tambah nilai industri pelancongan Sarawak – Dennis

ByRegina Lee

KUCHING, 5 Mei: Pengumuman AirAsia Indonesia berhubung penerbangan terus Kuching-Jakarta (CGK-KCH) bermula 15 Jun ini diyakini bakal menambah nilai industri pelancongan Sarawak, kata Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dennis Ngau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan itu optimis laluan penerbangan baharu terbabit akan menyaksikan peningkatan kehadiran pelancong Indonesia dalam sektor kesihatan di Sarawak, khususnya di Kuching.

“Kita sedia maklum sekarang begitu ramai pelawat daripada Kalimantan, khususnya Pontianak ke sini untuk mendapatkan rawatan daripada fasiliti kesihatan kita.

Baca artikel berkaitan: 

1. Pelajar Sarawak di Indonesia sambut baik laluan baharu Airasia

2. Penerbangan terus Airasia, Kuching-Jakarta bermula Jun

“Dengan adanya laluan penerbangan terus itu, urusan untuk mereka (pelawat) mendapatkan rawatan menjadi lebih mudah serta bagi mereka yang datang untuk tujuan ingin melancong ke Sarawak,” katanya ketika dihubungi TVS pada Jumaat.

Menurutnya lagi, STB telah mengadakan beberapa siri promosi bersama hospital swasta yang terdapat di Kuching ke negara jiran untuk memaklumkan mengenai kemudahan hospital yang ditawarkan dengan tujuan menarik perhatian sekali gus datang ke sini.

“Pihak STB akan terus mempergiatkan aktiviti promosi bersama hospital-hospital swasta untuk memaklumkan fasiliti yang ada dalam sektor kesihatan ialah ‘world-class’, sekali gus menarik perhatian golongan yang mampu dari Indonesia untuk mendapatkan rawatan yang ditawarkan.

“Ini adalah usaha berterusan yang memerlukan sokongan daripada semua pihak (kerajaan, syarikat penerbangan, kementerian pelancongan dan kerajaan Indonesia) agar penerbangan terus ini dapat kekal bertahan,” ujarnya lagi.

Beliau turut berharap sasaran kerajaan negeri iaitu kehadiran seramai tiga juta pelawat ke Sarawak akan dapat dicapai di samping menyaksikan peningkatan permintaan terhadap sektor kesihatan negeri.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sasaran itu adalah berdasarkan prestasi dan trend industri pelancongan pada tahun 2022. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan