KOTA SAMARAHAN, 4 Mei: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM917 juta kepada Sarawak pada tahun ini bagi melaksanakan 241 projek.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata projek berkenaan merangkumi 38 projek baru dan 203 projek sambungan.
“Kebanyakan projek kita lebih kepada prasarana khasnya jalan-jalan luar bandar, bekalan elektrik, air dan juga untuk tahun ini kita turut memfokuskan kepada pembangunan telekomunikasi di luar bandar.
“Untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kita mempunyai peruntukan besar, kalau di Sarawak kita ada RM1.5 bilion sebenarnya untuk Rolling Plan.
“Sekarang kita berada di fasa ketiga maksudnya rolling plan ketiga dan kita telah pun menerima sebanyak RM917 juta,” katanya pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, hari ini.
Katanya lagi peruntukan itu juga digunakan untuk menaik taraf jalan raya di bawah Program Jiwa Murni. Kerajaan Sarawak mencadangkan RM85 juta untuk tujuan naik taraf jalan raya di bawah program berkenaan, jelasnya.
“Jalan raya di bawah Program Jiwa Murni kebanyakannya berada di kawasan Baram, Ulu Rajang, Kapit dan juga beberapa kawasan di Betong,” ujarnya.
Jelasnya lagi, jalan raya di bawah program itu dibina oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, setelah siap dinaik taraf ia akan dimasukkan ke dalam Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk tujuan penyelenggaraan.
Mengulas lanjut katanya, KKDW menyalurkan peruntukan berdasarkan cadangan Kerajaan Negeri.
“Setakat ini kita menerima dan memberi keutamaan kepada projek-projek yang dikehendaki oleh Kerajaan Sarawak. Kita juga sedia maklum banyak kemudahan bekalan air dan elektrik yang perlu dinaik taraf,” katanya.
Katanya, KKDW pada ketika ini memfokuskan kepada bekalan batang paip ekoran kekurangan bagi melaksanakan projek bekalan air.
Beliau turut makluma terdapat keperluan mendesak untuk menaik taraf loji-loji penapisan air di seluruh Sarawak.
“Sebab itu saya kira Kerajaan Negeri akan mencadangkan kepada kementerian untuk membina beberapa loji baharu,” ujarnya. – TVS