KOTA SAMARAHAN, 4 Mei: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau tidak tahu tentang dakwaan wujud cubaan pihak tertentu hendak menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, beliau sekarang masih sibuk dengan kunjungan Aidilfitri dan tidak lama lagi Sarawak akan meraikan Gawai Dayak.
“Manalah saya tahu. Saya masih sibuk beraya, anda sendiri pun tahu bahawa saya tidak ambil tahu sangat. Kita Sarawak masih sibuk beraya, lepas ini meraikan Gawai,” katanya.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas tentang dakwaan usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Abang Johari yang ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang di sini hari ini, berkata lagi beliau cuma mengetahui dakwaan berkenaan menerusi media sosial.
Baca artikel berkaitan >>> Premier Sarawak sertai delegasi bincang isu negara Islam di Oxford esok
Kerajaan Perpaduan dibentuk menerusi kerjasama antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.
Baru-baru ini, Anwar berkata gabungan empat parti politik utama dalam Kerajaan Perpaduan adalah cukup kuat dan berupaya untuk menangkis komplot menjatuhkan kerajaan.
Mengesahkan wujudnya komplot untuk menjatuhkan kerajaan, Anwar berkata empat parti berkenaan telah menyatakan komitmen untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
“Komplot itu ada tetapi tidak ada asas, kita tumpu kerja… tiap bulan ada strategi (jatuhkan kerajaan). Insya-Allah setakat kita pantau, keadaan (kerajaan) cukup kuat,” katanya. – TVS