LIMBANG, 3 Mei: Pengusaha bot pengangkutan di daerah Limbang perlu memohon permit dan lesen untuk menjalankan aktiviti bot tambang mereka, kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Menurut Kim Shin, permohonan harus dibuat melalui Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) Daerah Limbang untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Beliau berkata aspek keselamatan bagi pengusaha bot pengangkutan sungai penting kerana perkhidmatan itu masih antara mod pengangkutan di Sarawak.
“Apabila tidak mematuhi segala keperluan dan peraturan maka apabila berlakunya kemalangan dan akan menghadapi satu masalah yang tidak ada insurans dan sebagainya.
“Jadi sebab itu, kita mengalakkan pengusaha bot pengangkutan orang awam maka adalah wajib anda semua memohon permit, dengan berjumpa dengan pegawai kita dan mematuhi segala peraturan, ,” katanya.
Kim Shin berkata demikian ketika berucap pada Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Terminal Ekspres Limbang, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Henry Harry Jinep dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengusaha bot pengangkutan agar menjaga keselamatan dan kebersihan sungai daripada pencemaran sampah yang dibuang terus ke sungai.
Jelasnya lagi, kesedaran awam terhadap kebersihan sungai dalam kalangan masyarakat umum amat mustahak kerana sungai merupakan antara aset yang paling penting kepada semua.
“Tanggungjawab semua pihak penting dalam memastikan kebersihan sungai-sungai di Sarawak terus berada pada tahap selamat,” tegasnya.
Pada program itu seramai 44 orang pengusaha bot penambang di Limbang menerima permit dan jaket keselamatan pada program hari ini.