MIRI, 3 Mei: Kerja-kerja pembinaan dan pembaikan jalan ke Long Selaan dan Long Moh di kawasan Baram dijangka siap hujung tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah telah melawat tapak berkenaan hari ini bagi memantau perkembangan projek tersebut yang merangkumi pembinaan dua jambatan utama untuk menyeberangi Sungai Baram di Long Selaan dan Sungai Moh di Long Moh.
Kerja-kerja ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan sepanjang 16 km daripada jalan pembalakan sedia ada sepanjang 18.9 km ke Long Selaan dan membuat jalan baru sepanjang 8.2 km dari Long Selaan ke Long Moh.
Jalan baru sepanjang 250 m ke SK Long Moh dan Long Selaan-Long Moh akan dibina serta penambaikan jalan bekas pembalakan sedia ada sepanjang 0.4 km dari Simpang Long Moh ke Long Moh.
Projek ini dilaksanakan oleh Highland Development Agency (HAD) yang dipengerusikan oleh Uggah.
Jalan ini memang perlu dinaiktaraf dan menjadi sebahagian daripada Jalan Keselamatan Sempadan pada masa akan datang selain untuk menghubungkan penduduk di Murum, Long Selaan, Long Banga dan Ba’Kelalan.
Projek ini juga akan memberi impak besar kepada kawasan Telang Usan, memudahkan perjalanan antara 12 buah kampung-kampung yang berselerak di sebelah kanan Sungai Baram dan 10 buah kampung di sebelah kiri Sungai Baram selain untuk menjimatkan masa perjalanan kepada 5 jam dari Lio Mato ke Long Silat.
HDA adalah sebuah agensi pembangunan yang ditubuhkan pada 12 Julai 2017 diberi tanggungjawab membawa projek-projek infastruktur ke kawasan seluas 18, 463km meliputi Marudi, Telang Usan, Miri dan Beluru terutamanya jalan raya dan bekalan air bersih.
Ini sebenarnya betujuan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar di kawasan tanah tinggi.
Pada masa ini, HAD sedang melaksanakan 50 projek infrastruktur dengan peruntukan RM1 bilion dari Kerajaan Sarawak.
Daripada 50 projek tersebut, 8 projek telah siap, 12 projek sedang dilaksanakan, 20 projek sedang dalam peringkat tender dan 10 projek sedang dalam peringkat reka bentuk.
Selain itu, HDA juga telah menyiapkan pembinaan Kompleks Integrated Higland Agricultur Station (IHAS) berhampiran Long Banga, Baram dan berfungsi sebagai Pusat Penyelidikan Pertanian Tanah Tinggi.
Setakat September tahun lepas, kompleks tersebut dibawah pengurusan Kementerian Pemodenan, Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Manred) yang kini dikenali sebagai Kementerian Industri Makanan dan Pembangunan Wilayah (MiFICORD).
Cadangan penambahbaikan dan pembinaan jalan ke Long Selaan dan Long Moh adalah satu lagi langkah ke arah pembangunan kawasan Telang Usan bagi meningkatkan lagi kehidupan masyarakat di tanah tinggi.
Turut menyertai lawatan kerja tersebut Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datu Ismawi Ismuni, Pengarah Wilayah HDA Semuel Belawan dan Pengerusi Syarikat Double Dinasty Sdn Bhd Tan Sri Yee Ming Seng.-TVS