Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Hasbi menyerahkan cenderamata kepada mantan Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said. Foto: TVS

Pelancong Brunei ke Limbang meningkat sejak Ramadan, sepanjang Aidilfitri – Hasbi

LIMBANG, 3 Mei: Peningkatan pelancong dari negara Brunei Darussalam mengunjungi daerah ini disaksikan sejak Ramadan diikuti Aidilfitri kali ini disifatkan memacu ekonomi domestik setempat.

Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, perkembangan positif itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi Limbang kembali mengunjur selepas dibadai pandemik COVID-19 tiga tahun lepas.

Menurutnya, kemasukan mendadak pengunjung negara jiran itu turut membuktikan Limbang masih menjadi pintu masuk utama mengunjung luar untuk membeli-belah di daerah tersebut.

“ Jadi Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana tidak perlu risau tidak ada orang mengunjungi Limbang, Limbang sunyi dan sebagainya.

“Sebenarnya Limbang masih seperti biasa lagi dan hujung bulan orang masih ramai masuk ke sini membeli-belah dan sebagainya,” katanya.

Hasbi yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Ketua Masyarakat, Ketua Kaum Islam Daerah Limbang di sini hari ini.

Malahan, Hasbi mendedahkan pusat beli-belah di Limbang, premis perniagaan, restoran dan bangunan industri kembali meriah dengan kehadiran pengunjung luar yang menyaksikan tahun 2023 telah memberi sinar harapan kepada pertumbuhan ekonomi dan perniagaan penduduk.

“Berdasarakan maklumat yang saya dapati di sempadan terdapat ratusan kenderaan daripada negara jiran melintasi sempadan seharian termasuklah kenderaan-kenderaan komersial dan sebagainya.” ujarnya.

Dalam pada itu, Hasbi turut gembira dengan perkembangan positif pembinaan Jambatan Sungai Limbang yang menurutnya setelah siap nanti ia akan memendekkan perjalanan dan mobiliti penduduk setempat serta pengunjung dari negara jiran itu ke daerah berkenaan.

Jelasnya projek pembinaan Jambatan Sungai Limbang yang sebelum ini berdepan kelewatan dan dikategorikan projek sakit, kini menunjukkan perkembangan positif dan menjadi satu lagi akses utama di utara Sarawak apabila siap kelak.

“Sudah pastinya jambatan ini membawa makna yang besar untuk rakyat Limbang, sebab nanti ia akan mendekatkan lagi perjalanan ke negara jiran dan membolehkan orang negara jiran berkunjung ke Limbang.

“Ia akan memendekkan perjalanan terus ke Temburong Brunei. Selain daripada jalan melalui di laut di Teluk Brunei, jadi saya yakin hubungan erat negara kita, kerjasama dan sebagainya bakal wujud sesama negara apatah lagi di bawah perjanjian perniagaan dan sebagainya antara Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur meliputi Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIM-EAGA),” ujarnya.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan