MARUDI, 2 Mei: Projek pembinaan jambatan Marudi (merentasi Batang Baram) yang sebelum ini dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ kini mendahului dua peratus berbanding jadual asal.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia susulan kerajaan memberhentikan kontraktor asal dan melantik kontraktor penyelamat.
Menurutnya, kontraktor Pekerjaan Piasau Konkerit Sdn Bhd menyatakan komitmen untuk menyiapkan projek bernilai RM116.5 juta itu dalam tempoh dua tahun bermula Oktober 2022 setelah mengambil alih pembinaannya.
“Syarikat berkenaan juga telah menyatakan komitmen sama tentang penyiapannya kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berkunjung ke Marudi baru-baru ini.
“Ia juga telah berjanji kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Dr Penguang Manggil yang sekian lama menunggu projek berkenaan siap,” katanya selepas meninjau projek berkenaan di sini, hari ini.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata lagi, beliau yakin kontraktor berkenaan berupaya menyiapkan projek mengikut jadual berdasarkan jentera dan tenaga kerja yang terbabit dengan pembinaannya.
Jambatan 650 meter panjang itu dijadual siap pada Oktober 2025.
“Hari ini kita dapat menyaksikan kemajuan pembinaan dan gembira melihat perkembangannya. Anda dapat saksikan perbezaan.
“Setahun yang lepas ketika melawat tapak projek kita dapat melihat seolah-olah langsung tidak ada aktiviti. Kini kita kembali dan melihat banyak aktiviti dan kerja-kerja dilaksanakan,” katanya. -TVS