KUCHING, 1 Mei: Melalui aplikasi EnjoySarawak, Sarawak Tourism Board (STB) melancarkan kempen ‘Global Sia Sitok Vacations’ yang melibatkan sebanyak 51 peniaga dan 147 pakej untuk mengalu-alukan pelancong dunia datang ke Bumi Kenyalang.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, kempen ini penting untuk meningkatkan jumlah pelancong ke Sarawak sambil mempamerkan kelebihan Sarawak.
“Kempen ini juga selaras dengan kempen pengembaraan ‘Sarawak…Now More Than Ever’. Dengan kejayaan kempen ‘Sia Sitok Sarawak’ dan ‘Sia Sitok Sarawak Vacations’ sebelum ini, kami menetapkan sasaran 9,000 pelancong dalam tempoh tersebut, memberi sumbangan kepada usaha kami untuk menyambut 3 juta pelancong ke Sarawak pada tahun 2023,” katanya.
Selain itu, katanya, pelancong dari Sabah, Semenanjung Malaysia dan seluruh dunia boleh memuat turun dan menebus e-voucher bernilai RM100 dari aplikasi EnjoySarawak, di mana ia juga menyediakan panduan menyeluruh mengenai tarikan pelancongan, penginapan, restoran, dan sebagainya di Sarawak, menjadikan ia lebih mudah untuk pengunjung merancang lawatan mereka dan memaksimumkan pengalaman mereka.
“Menerusi aplikasi tersebut juga, para pelancong boleh menggunakan satu baucer untuk setiap transaksi dan ini bertujuan untuk meningkatkan kedatangan dan pertumbuhan pasaran jarak sederhana dan jauh, dengan kehadiran pelancong yang berterusan.
“Dengan itu, Rainforest World Music Festival Edisi Ke-26 yang bakal berlangsung di Kampung Budaya Sarawak dari 23 hingga 25 Jun 2023, pencinta muzik juga dapat mengambil kesempatan untuk mendapatkan baucer perjalanan daripada aplikasi tersebut dan menghadiri festival untuk menikmati muzik berkualiti dari pelbagai artis antarabangsa dan tempatan,” ujarnya. – TVS